Jumat, 30 Oktober 2009

Ma'rifatullah 1

Pendahuluan

Mungkin ada dikalangan kita yang bertanya kenapa pada saat ini kita
masih perlu berbicara tentang Allah pada hal kita sudah sering mendengar
dan menyebut nama-Nya dan kita tahu bahawa Allah itu Tuhan kita.
Tidakkah itu sudah cukup untuk kita ?


Saudaraku, jangan sekali kita merasa sudah cukup dengan pemahaman dan
pengenalan kita terhadap Allah kerana semakin kita memahami dan
mengenali-Nya kita merasa semakin hampir dengan-Nya. Kita juga mahu agar
terhindar dari pemahaman-pemahaman yang keliru terhadap Allah dan
terhindar juga dari sikap-sikap yang salah dari kita terhadap Allah .

Ketika kita membicarakan tentang makrifatullah, bermakna kita berbicara
tentang Rabb, Malik dan Ilah kita. Rabb yang kita fahami dari istilah
al-Quran adalah sebagai Pencipta, Pemilik, Pemelihara dan Penguasa.
Manakala Ilah pula mengandungi erti yang dicintai, yang ditakuti dan
juga sebagai sumber pengharapan. Kita boleh lihat hal ini di dalam surah
An-Naas : 1-3.

Dengan demikian maka jelaslah bahawa usaha kita untuk lebih jauh
memahami dan mengenal Allah adalah merupakan bahagian terpenting di
dalam hidup ini. Bagaimanakah jalan atau metod yang harus kita lalui
untuk mengenal Allah s.w.t. dan apakah halangan-halangan yang sentiasa
menghantui manusia daripada mengenal dan berdampingan dengan-Nya ?
Mungkin boleh kita merujuk kepada satu riwayat yang bermaksud:
"Kenalilah dirimu nescaya engkau akan mengenali Tuhanmu" . Dari
pengenalan diri sendiri , maka ia akan membawa kepada pengenalan
(makrifah) yang menciptakan diri iaitu Allah. Ini adalah kerana pada
hakikatnya makrifah kepada Allah adalah sebenar-benar makrifah dan
merupakan asas segala kehidupan rohani.

Setelah makrifah kepada Allah, akan membawa kita kepada makrifah kepada
Nabi dan Rasul, makrifah kepada Alam nyata dan alam ghaib dan makrifah
kepada alam akhirat.

Keyakinan terhadap Allah s.w.t menjadi mantap apabila kita mempunyai
dalil-dalil dan bukti yang jelas tentang kewujudan Allah lantas
melahirkan pengesaan dalam mentauhidkan Allah secara mutlak. Pengabdian
diri kita hanya semata-mata kepada Allah sahaja. Ini memberi erti kita
menolak dan berusaha menghindarkan diri dari bahaya-bahaya disebabkan
oleh syirik kepada-Nya.

Kita harus berusaha menempatkan kehidupan kita di bawah bayangan tauhid
dengan cara kita memahami ruang perbahasan dalam tauhid dengan benar
tanpa penyelewengan sesuai dengan manhaj salafussoleh. Kita juga harus
memahami empat bentuk tauhidullah yang menjadi misi ajaran Islam di
dalam al-Quran mahupun sunnah iaitu tauhid asma-wa-sifat, tauhid
rububiah, tauhid mulkiah dan tauhid uluhiah . Dengan pemahaman ini kita
akan termotivasi untuk melaksanakan sikap-sikap yang menjadi tuntutan
utama dari setiap empat tauhid tersebut.

Kehidupan paling tenang adalah kehidupan yang bersandar terus
kecintaannya kepada yang Maha Pengasih. Oleh kerana itu kita harus mampu
membezakan di antara cinta kepada Allah dengan cinta kepada selain-Nya
serta menjadikan cinta kepada Allah mengatasi segala-galanya. Apa yang
menjadi tuntutan kepada kita ialah kita menyedari pentingnya melandasi
seluruh aktiviti hidup dengan kecintaan kepada Allah , Rasul dan
perjuangan secara minhaji.

Di dalam memahami dan mengenal Allah ini, kita seharusnya memahami
bahawasanya Allah adalah merupakan sebagai sumber ilmu dan pengetahuan.
Ilmu-ilmu yang Allah berikan itu adalah menerusi dua jalan yang
membentuk dua fungsi iaitu sebagai pedoman hidup dan juga sebagai sarana
hidup. Kitab juga sepatutnya menyedari kepentingan kedua bentuk ilmu
Allah dalam pengabdian kepada Allah untuk mencapai tahap taqwa yang
lebih cemerlang.

-----------------

Ahammiah Makrifatullah
Sinopsis

Makrifatullah atau mengenal Allah adalah subjek utama yang mesti
disempurnakan oleh seorang muslim. Para mad'u yang diajak untuk terlibat
sama di dalam dakwah mestilah dipastikan betul mereka memiliki kefahaman
dan pengenalan yang sahih terhadap Allah s.w.t. Mesti terpacak kukuh di
dalam hati sanubari bahawa Allah adalah sebagai "Rabb" kepada sekelian
alam. Keyakinan ini tentu sekali bersandarkan kepada berbagai dalil dan
bukti yang kukuh. Dari keyakinan ini, akan membuahkan peningkatan iman
dan taqwa. Personaliti merdeka dan bebas adalah yang lahir dari
pengenalan yang mantap terhadap Allah. Juga akan lahir ketenangan,
keberkatan dan kehidupan yang baik sebagai manifestasi dari mengenali
Allah. Di akhirat akan dikurniakan pula dengan balasan syurga Allah.
Semua ini adalah bergaris penamat di keredhaan Allah s.w.t.

Hasyiah

1. Kepentingan ilmu makrifatullah

Syarah:

Riwayat ada menyatakan bahawa perkara pertama yang mesti dilaksanakan
dalam agama adalah mengenal Allah (awwaluddin makrifatullah) . Bermula
dengan mengenal Allah,maka kita akan mengenali diri kita sendiri.
Siapakah kita, dimanakah kedudukan kita berbanding makhluk-makhluk yang
lain, apakah sama misi hidup kita dengan binatang-binatang yang ada di
bumi ini, apakah tanggungjawab kita dan kemanakah kesudahan hidup kita.
Semua persoalan itu akan terjawab secara tepat setelah kita mengenali
betul-betul Allah sebagai Rabb dan Ilah. Yang Mencipta, Yang
Menghidupkan, Yang Mematikan dan seterusnya.

Dalil:

47:19. Ayat ini mengarahkan kepada kita dengan bahasa (ketahuilah
olehmu) bahawasanya tidak ada ilah selain Allah dan minta ampunlah untuk
dosamu dan untuk mukminin dan mukminat. Apabila al-Quran menggunakan
sighah amar (perintah) maka ia menjadi wajib menyambut perintah
tersebut. Dalam konteks ini mengetahui atau mengenali Allah
(makrifatullah ) adalah wajib.

3:18: Allah menyatakan bahawa tidak ada tuhan melainkan Dia, dan telah
mengakui pula para malaikat dan orang-orang yang berilmu sedang Allah
berdiri dengan keadilan. Tidak ada tuhan melainkan Dia Yang Maha Perkasa
dan Maha Bijaksana.

22:72-73: Allah telah menjanjikan kepada mereka yang mengingkari
ayat-ayat Allah samada ayat qauliah atau kauniah dengan api neraka.
Janji ini Allah turunkan di dalam surah al-Hajj ayat 72-73: Apabila
dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang terang kamu dapati pada
muka-muka orang kafir kemarahan. Hampir-hampir mereka menendang
orang-orang yang membacakan kepada mereka ayat-ayat kami. Katakanlah
kepada mereka : Hendakkah aku khabarkan kepada kamu dengan yang lebih
buruk daripada itu , iaitulah neraka yang telah dijanjikan oleh Allah
kepada mereka yang kufur dan itulah seburuk-buruk tempat kembali. Wahai
manusia, dibawakan satu permisalan maka hendaklah kamu dengar !
Sesunggguhnya orang-orang (berhala-berhala) yang engkau sembah selain
Allah tidak akan mampu mencipta seekor nyamuk sekalipun seluruh mereka
berkumpul untuk tujuan itu. Dan jika mereka dihinggapi oleh seekor
lalat, mereka tidak mampu untuk menyelamatkan diri. Lemahlah orang yang
menuntut dan orang yang dituntut (sembah).

Oleh yang demikian makrifatullah menerusi ayat-ayatNya adalah suatu
kepentingan utama perlu dilaksanakan agar terselamat dari api neraka.

39:67 : Mereka tidak mentaqdirkan Allah dengan ukuran yang sebenarnya
sedangkan keseluruhan bumi berada di dalam genggaman-Nya pada Hari
Kiamat dan langit-langit dilipatkan dengan Kanan-Nya. Maha Suci Dia dan
Maha Tinggi Dia dari apa yang mereka sekutukan.

Orang-orang kafir tidak mentaqdirkan Allah dengan taqdir yang sebenarnya
kerana mereka tidak betul-betul makrifatullah. Ayat ini menarik kita
agar tidak salah taqdir terhadap hakikat ketuhanan Allah yang
sebenarnya. Oleh itu memerlukan makrifatullah yang sahih dan tepat.

2. Tema perbicaraan makrifatullah - Allah Rabbul Alamin

Syarah:

Ketika kita membicarakan tentang makrifatullah, bermakna kita berbicara
tentang Rabb, Malik dan Ilah kita. Rabb yang kita fahami dari istilah
al-Quran adalah sebagai Pencipta, Pemilik, Pemelihara dan Penguasa.
Manakala Ilah pula mengandungi erti yang dicintai, yang ditakuti dan
juga sebagai sumber pengharapan. Kita boleh lihat hal ini di dalam surah
An-Naas : 1-3. Inilah tema di dalam makrifatullah. Jika kita menguasai
dan menghayati keseluruhan tema ini, bermakna kita telah mampu
menghayati makna ketuhanan yang sebenarnya.

Dalil:

13:16 : Katakanlah: Siapakah Rabb segala langit dan bumi ? Katakanlah :
Allah. Katakanlah: Adakah kamu mengambil wali selain daripada-Nya, yang
tiada manafaat kepada dirinya dan tidak pula dapat memberikan mudarat ?
Katakanlah: Adakah bersamaan orang yang buta dengan orang yang melihat ?
Bahkan adakah bersamaan gelap dengan Nur (cahaya)? Bahkan adakah mereka
mengadakan bagi Allah sekutu-sekutu yang menjadikan sebagaimana Allah
menjadikan, lalu serupa makhluk atas mereka ? Katakanlah : Allah Allah
yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dan Dia Esa lagi Maha Kuasa.

6:12: Katakanlah : Bagi siapakah apa-apa yang dilangit dan dibumi ?
Katakanlah: Bagi Allah. Dia telah menetapkan ke atas diri-Nya akan
memberikan rahmat. Demi sesungguhnya Dia akan menghimpunkan kamu pada
Hari Kiamat, yang tidak ada keraguan padanya. Orang-orang yang merugikan
diri mereka, maka mereka tidak beriman.

6:19: Katakanlah : Apakah saksi yang paling besar ? Katakanlah:
Allah-lah saksi di antara aku dan kamu . Diwahyukan kepadaku al-Quran
ini untuk aku memberikan amaran kepada engkau dan sesiapa yang sampai
kepadanya al-Quran. Adakah engkau menyaksikan bahawa bersama Allah ada
tuhan-tuhan yang lain ? Katakanlah: Aku tidak menyaksikan demikian.
Katakanlah: hanya Dialah tuhan yang satu dan aku bersih dari apa yang
kamu sekutukan.

27:59: Katakanlah: Segala puji-pujian itu adalah hanya untuk Allah dan
salam sejahtera ke atas hamba-hambanya yang dipilih. Adakah Allah yang
paling baik ataukah apa yang mereka sekutukan.

24:35: Allah memberi cahaya kepada seluruh langit dan bumi

2:255 Allah. Tidak ada tuhan melainkan Dia. Dia Hidup dan Berdiri
Menguasai seluruh isi bumi dan langit.

3. Didukung dengan dalil yang kuat:, 75: 14-15

Syarah:

Makrifatullah yang sahih dan tepat itu mestilah bersandarkan dalil-dalil
dan bukti-bukti kuat yang telah siap disediakan oleh Allah untuk manusia
dalam berbagai bentuk agar manusia berfikir dan membuat penilaian . Oleh
kerana itu banyak fenomena alam yang disentuh oleh al-Quran diakhirkan
dengan persoalan tidakkah kamu berfikir, tidakkah kamu melihat, tidakkah
kamu mendengar dan sebagainya. Pertanyaan-pertanyaan itu boleh
mendudukkan kita pada satu pandangan yang konkrit betapa semua alam
cakerawala ini adalah di bawah milik dan pentadbiran Allah s.w.t.

Dalil:

Naqli - 6:19: Allah menurunkan al-Quran kepada Rasul sebagai bahan
peringatan untuk manusia
Aqli - 3:190: Kejadian langit, bumi dan pertukaran siang malam menjadi
bukti bagi orang yang berfikir
Fitri - 7:172 : Pertanyaan Allah kepada anak adam di alam fitrah, bukan
Aku tuhanmu ? Lalu diakuri

4. Dapat menghasilkan : peningkatan iman dan taqwa

Syarah:

Apabila kita betul-betul mengenal Allah menerusi dalil-dalil yang kuat
dan kukuh, hubungan kita dengan Allah menjadi lebih akrab. Apabila kita
hampir dengan Allah, Allah lebih lagi hampir kepada kita. Setiap ayat
Allah samada dalam bentuk qauliah mahupun kauniah tetap akan menjadi
bahan berfikir kepada kita dan penambah keimanan serta ketakwaan. Dari
sini akan menatijahkan personaliti hamba yang merdeka, tenang, penuh
keberkatan dan kehidupan yang baik. Tentunya tempat abadi baginya adalah
syurga yang telah dijanjikan oleh Allah kepada hamba-hamba yang telah
diredhaiNya.

5. Kemerdekaan

6:82 : Orang-orang yang beriman dan tidak memcampurkan keimanannya
dengan kezaliman, untuk merekalah keamanan sedang mereka itu mendapat
petunjuk.

6. Ketenangan

13:28 : Orang-orang yang beriman dan tenteram hatinya dengan mengingati
Allah. Ingatlah (bahawa dengan mengingati Allah itu, tenteramlah segala
hati.

7. Barakah

7:96: Kalau sekiranya penduduk negeri itu beriman dan bertaqwa, nescaya
kami tumpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi tetapi
mereka itu mendustakan sebab itu Kami siksa mereka dengan sebab usahanya
itu.

8. Kehidupan yang baik

16:97: Sesiapa yang melakukan kebaikan baik lelaki mahupun perempuan
sedang dia beriman nescaya Kami siapkan dia dengan kehidupan yang baik

9. Syurga

10:25-26: Mereka yang melakukan kebaikan akan mendapat kebaikan dan
tambahan dari Allah dan mereka akan menjadi penduduk tetap syurga Allah.

10. Mardhotillah:

98:8: Balasan untuk mereka di sisi tuhannya ialah syurga Adne yang
mengalir sungai dibawahnya sedang mereka kekal selama-lama di dalamnya .
Allah redha kepada mereka dan mereka redha kepada Allah. Syurga itu
untuk orang-orang yang takut kepada Allah.



Tidak ada komentar:

Posting Komentar