Selasa, 11 Mei 2010

Mujahadah Jalan Membentuk Peribadi Bertaqwa (1)

Islam telah menunjukkan kepada kita beberapa jalan yang boleh menyampaikan kita kepada taqwa dan salah satu diantara jalan-jalan tersebut ialah dengan kita bermujahadah. Berhubung dengan mujahadah ini Ustaz Said Hawwa menjelaskan,

" Kita bermujahadah ini adalah untuk mendapatkan petunjuk daripada Allah SWT ".

Oleh itu mujahadah ialah jalan untuk kita mendapat petunjuk daripada Allah SWT agar petunjuk itu masuk ke dalam hati kita. Jadi maknanya untuk mendapat dan memperoleh hidayah daripada Allah SWT maka perlu kepada mujahadah. Mujahadah juga merupakan jalan untuk kita menambahkan petunjuk. Setelah kita mendapat petunjuk kita hendak tingkatkan dan tambah lagi hidayah daripada Allah SWT iaitu dengan cara kita mempertingkat mujahadah.

Untuk melaksanakan mujahadah ini kita perlu mengikuti jalan yang betul. Sebab banyak orang yang berusaha dan bermujahadah tetapi tidak mendapat bimbingan dan hidayah daripada Allah SWT. Banyak kegiatan-kegiatan yang dilakukan dan bermati-matian bermujahadah tetapi tidak mendapat petunjuk daripada Allah SWT. Kerana apa? kerana jalannya tidak betul yakni tidak mengikut jalan yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah SAW.

Hidayah Allah SWT merupakan mukaddimah kepada taqwa. Apabila seseorang itu mendapat hidayah daripada Allah SWT hasil daripada bermujahadah maka hidayah ataupun petunjuk yang diperolehinya itu adalah merupakan mukaddimah kepada taqwa, mukaddimah untuk dia menjadi seorang yang muttaqin yakni yang bertaqwa kepada Allah SWT. Ini bermakna taqwa itu diperolehi hasil dari anugerah hidayah yang diberikan oleh Allah SWT kepada orang-orang yang bermujahadah. Taqwa bukan boleh kita buat-buat dalam jiwa kita tetapi dia mestilah dengan hidayah daripada Allah SWT. Ini bererti seseorang itu tidak boleh menjadi orang yang bertaqwa dengan akal fikirannya sendiri , dia nak berubah menjadi orang yang baik dengan menggunakan akal fikiran dia sendiri, tidak boleh, sebaliknya dia mestilah mendapat hidayah/petunjuk daripada Allah SWT dengan jalan bermujahadah sebagaimana yang disyariatkan oleh Allah SWT dan yang diajarkan oleh Islam kepada kita melalui Rasulullah SAW. Firman Allah SWT :
"Dan orang-orang yang berjihad untuk mencari keredhaan kami,benar-benar akan kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan kami. Dan sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang berbuat baik ".
( Surah al Ankabut : 69 )

Ini merupakan janji-janji Allah s.w.t kepada mereka yang bermujahadah, Allah s.w.t akan berikan kepada mereka hidayah. Sesungguhnya Allah s.w.t tidak pernah memungkiri janjinya. Sesungguhnya Allah benar-benar akan berserta dengan orang-orang yang berbuat baik.

Setelah mendapat hidayah daripada Allah SWT maka bermulalah kita menjadi seorang yang bertaqwa kepada Allah SWT. Barulah kita menuju ke arah kehidupan orang-orang yang disebut sebagai Al-Muttaqin yakni yang bertaqwa kepada Allah SWT.Jika sekiranya kita tidak mendapat hidayah daripada Allah SWT maka ke arah menjadi orang-orang yang bertaqwa ini tidak akan wujud. Jadi kalau kita berusaha kuat mana sekalipun kalau tidak mendapat hidayah dari Allah SWT maka tidak akan ada mukaddimah, tidak akan ada permulaan ataupun titik tolak untuk kita menjadi seorang manusia yang bertaqwa kepada Allah SWT.

Oleh itu apabila kita bermujahadah ia akan menyampaikan kita kepada memperolehi hidayah daripada Allah SWT sementara hidayah yang kita perolehi itu pula akan menyampaikan kita kepada taqwa. Jadi itu hubungan di antara ketiga-tiga perkara, hubungan di antara mujahadah, hidayah, dan taqwa. Jadi mujahadah akan membawa kita kepada hidayah sementara hidayah pula akan membawa kita kepada taqwa. Jadi kalau kita tidak ikut jalan yang pertama ini yakni tidak bermujahadah maka tidak akan ada hidayah dan tidak ada taqwa dalam jiwa kita.

Satu perkara penting di dalam proses untuk kita bermujahadah dan mendapatkan hidayah daripada Allah SWT ialah uslub ataupun jalan-jalan yang kita lalui untuk bermujahadah itu mestilah mendapat taufik ataupun persetujuan daripada Allah SWT. Maknanya di sini, tidak semestinya orang yang bermujahadah itu akan mendapat hidayah daripada Allah SWT kerana ada orang yang bermujahadah tetapi dia tidak mendapat hidayah. Ini adalah kerana hikmah dan kebijaksanaan Allah SWT. Jadi kemungkinan ada berlaku kesilapan di dalam mujahadah seseorang itu ataupun dia bermujahadah tidak mengikut cara Rasulullah SAW bermujahadah, bagaimana Rasulullah SAW menunjukkan cara memperoses dan mengislah(memperbaiki) diri. Jadi dia bermujahdah tidak dengan taufik Allah SWT, tidak dengan persetujuan Allah SWT. Dia bermujahadah tanpa pertolongan dan hidayah daripada Allah SWT maka sebab itulah tidak melahirkan natijah yang sebenarnya.

Justeru itu di dalam langkah-langkah kita bermujahadah ke arah untuk mendapat hidayah dan taqwa daripada Allah SWT ini maka kita hendaklah memastikan terlebih dahulu bahawa jalan-jalan yang kita lalui di dalam bermujahadah ini mestilah terlebih dahulu mendapat taufik dan persetujuan daripada Allah SWT. Tidak boleh kita mereka-reka cara bermujahadah ini dengan akal fikiran ataupun dengan cara kita sendiri.

Titik-tolak yang betul untuk kita mendekatkan diri kepada Allah SWT ialah dengan bermujahadah. Kita berjihad dan berusaha. Sebab itulah ulama'-ulama' yang muktabar menggariskan bahawa jihad itu perlulah dijadikan sebagai matlamat hidup kita. Dalam hal matlamat hidup ini sekiranya kita baca Allah SWT berfirman;
"Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka semua beribadah(mengabdikan diri) kepadaKu". (Surah az Dzariyat : 56)

Walaupun istilah dia berbeza, matlamat kita ialah untuk beribadah kepada Allah, matlamat kita ialah untuk mengabdikan diri kepada Allah, matlamat kita ialah jihad untuk mencari keredhaan Allah tetapi disegi konsep/tasawwur ataupun perincian nya, dia akan menjurus kepada hakikat yang sama. Matlamat hidup kita sebagaimana yang telah digaris dan diperincikan oleh ulama'-ulama'yang muktabar ialah kita perlu menjadikan jihad itu sebagai tujuan kita diwujudkan. Kita diwujudkan adalah untuk berjihad menegakkan kalimah syahadah, menegakkan deen Allah SWT di atas muka bumi ini. Untuk itu sebelum kita berjihad hendaklah kita fahami jihad ini dengan betul kerana jihad ini ada bermacam-macam jenis dan ada tertibnya, yang mana perlu kita utamakan terlebih dahulu dan yang mana selepas itu. Jadi jihad ini ada jihad melawan hawa nafsu, melawan orang-orang kafir, melawan orang-orang munafik, orang-orang zalim dan sebagainya.

Jihad melawan hawa nafsu merupakan jihad yang berterusan dan perlu diutamakan kerana hal ini telahpun dinyatakan oleh Rasulullah SAW sebagaimana sabdanya yang bermaksud

" Seutama-utama jihad ialah orang yang berjihad terhadap hawanafsunya dalam mentaati Allah azzawajalla ".

Jihad melawan hawanafsu ini pula terbahagi kepada 4 bahagian:-

1. Berjihad untuk mendapat hidayah(petunjuk) daripada Allah SWT.- kita berusaha, berikhtiar untuk mendapat petunjuk daripada Allah SWT.(petunjuk Allah ialah Islam itu sendiri).

2. Melaksanakan Islam, petunjuk Allah SWT itu di dalam kehidupan kita setiap hari dalam pelbagai aspek kehidupan kita.

3. Menyampaikan Islam yang telah kita laksanakan itu kepada orang lain.

4. Bersabar di dalam menyampaikan Islam kepada orang lain.

Jadi ada 4 peringkat jihad didalam melawan hawa nafsu ini yang mana apabila kita memperlengkapkan keempat-empat peringkat jihad ini maka barulah sempurna proses jihad kita melawan hawanafsu ini. Ini bermakna di dalam hidup kita ini setiap masa berkehendakkan kepada jihad dan lebih-lebih lagilah apabila kita hendak melahirkan dan melaksanakan Islam. Jadi di mana kita memperkatakan Islam maka di situlah kena ada jihad tidak kiralah sama ada diperingkat individu ataupun diperingkat jamaah. Kita seorang-seorang memerlukan jihad apabila nak melaksanakan Islam dan kita bersama-sama dengan sahabat-sahabat ataupun jamaah juga memerlukan jihad untuk melaksanakan Islam.

Mujahadah itu sebenarnya mempunyai makna yang cukup luas. Kita datang ke sini merupakan satu bentuk mujahadah, kita mendekatkan diri kita kepada suasana yang soleh, mendekatkan diri kepada sumber-sumber tarbiah yang betul seperti Al-Qur'an Al-Karim dan Sunnah Rasulullah SAW serta buku-buku yang dikarang oleh ulama-'ulama' yang muktabar semua itu termasuk dalam mujahadah. Kita hadir dalam halaqat, dalam tamrin dan program-program yang kita rancang, itu juga dikira mujahadah. Kita pergi menziarahi sahabat-sahabat kita, kita pergi menziarahi sanak-saudara kita dalam rangka nak menyebarkan kefahaman Islam misalnya pun dikira sebagai mujahadah,mujahadah untuk kita mendapat hidayah/petunjuk daripada Allah SWT.

Kita mendampingi orang-orang yang tertentu yang boleh membawa kita ke jalan yang haq maka itu juga dikira sebagai mujahadah. Kita mengelakkan diri kita daripada gangguan-gangguan maksiat, menjauhkan diri kita, anak-isteri, keluarga dan sahabat-sahabat kita daripada suasana-suasana yang tidak Islam dan dorongan-dorongan hawanafsu yang menyesatkan semua itu juga termasuk dalam usaha kita bermujahadah. Jadi alangkah luasnya kerja-kerja mujahadah yang perlu kita lakukan dalam rangka untuk kita mendapat hidayah daripada Allah SWT. Jadi semua usaha dan kerja-kerja yang kita lakukan sekiranya dibuat dengan penuh keikhlasan kerana Allah SWT maka itulah yang merupakan titik tolak yang betul ke arah untuk kita mendapat hidayah daripada Allah SWT. Jadi sekiranya apa yang kita buat, niat kita lillahi taala maka itulah jalan yang akan menyampaikan kita kepada hidayah Allah dan seterusnya membawa kita kepada makam(kedudukan) al-muttaqin ataupun orang-orang yang bertaqwa.

Untuk menuju ke arah muttaqin, untuk sampai kepada kedudukan orang-orang yang bertaqwa ini, kita dapati banyak berlaku kesalahan-kesalahan. Kita dapati di sana orang-orang yang salah didalam memahami konsep mujahadah ini, mereka melakukan mujahadah dengan konsep mereka yang tersendiri. Maka dengan sebab itulah kita dapati ramai yang bermujahadah tetapi tidak sampai kepada natijah yang betul yakni tidak mendapat hidayah daripada Allah SWT dan tidak dapat menjadi orang-orang yang benar-benar bertaqwa kepada Allah SWT. Mereka bermujahadah tetapi tidak mendapat hidayah dan taqwa. Jadi inilah yang betul-betul kita hendak jaga supaya jalan yang kita lalui itu betul-betul mendapat taufik ataupun persetujuan daripada Allah SWT. Dalam hendak memastikan kita bermujahadah ini dengan taufik/jalan yang dipersetujui oleh Allah SWT ini maka sebab itulah kita tidak memilih jalan yang lain melainkan jalan ataupun uslub yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam rangka kita bermujahadah ini dan juga dalam rangka kita nak kembali mengambil Islam. Jadi kita bermujahadah ikut uslub Rasulullah SAW dan kita mengambil Islam ini juga ikut uslub ataupun jalan sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.

Justeru itu tidaklah boleh kita membuat kesimpulan manakala kita hendak bermujahadah kita buat menurut cara kita sendiri ataupun tektik tersendiri tanpa melihat dan mengikuti uslub yang sebenarnya yakni uslub Rasulullah SAW. Kita tidak boleh buat ataupun fikir dengan cara kita sendiri di dalam bermujahadah ini. Dalam hal mengikuti jalan yang betul untuk bermujahadah ini telah berlaku kekeliruan di dalam kefahaman dan jalan-jalan yang hendak diambil akibat daripada kejahilan seseorang itu tentang konsep mujahadah yang sebenarnya. Kejahilan seseorang itu terhadap jalan mujahadah yang telah dilalui oleh baginda Rasulullah SAW itulah yang menyebabkan berlakunya kesalahan-kesalahan, ketidak-fahaman dan kekeliruan-keliruan di dalam melaksanakan mujahadah ini.

Di sini perlulah memahami betul-betul qadiah ataupun permasalahan mujahadah ini dan jalan-jalan yang perlu kita ikuti di dalam rangka untuk kita mendapatkan hidayah daripada Allah SWT dan menjadi manusia yang benar-benar bertaqwa kepada Allah SWT. Jadi sebagaimana yang kita jelaskan tadi sekirannya jalan yang kita ikuti dalam bermujahadah ini tidak betul, walaupun kita bersungguh-sungguh melakukan mujahadah ini, kita mencurahkan masa dan tenaga , wang ringgit dan harta benda yang banyak tetapi kejalan yang tidak betul maka semuanya itu akan menjadi sia-sia sahaja dan tidak akan mendapat taufik dan hidayah daripada Allah SWT. Kita tidak akan sampai kepada petunjuk dan taqwa yang sebenarnya.
 





Tidak ada komentar:

Posting Komentar